Semua artikel

Cara Merancang Pelaburan Persaraan & Kira Nombor Persaraan Anda

Oleh Hasan Amini 2 minit bacaan
Cara Merancang Pelaburan Persaraan & Kira Nombor Persaraan Anda

Ramai orang yang ingin masuk PRS atau melabur dalam Unit Trust menggunakan duit KWSP. Bila ditanya kenapa, kebanyakannya menjawab untuk maksimakan pulangan.

Cara yang lebih baik ialah kita perlu rancang dahulu dan tahu nombor persaraan kita. Tanpa nombor sasaran, kita melabur secara membuta tuli tanpa tahu sama ada cukup atau tidak. Berikut langkah sebelum menyimpan atau melabur untuk persaraan.

1. Tetapkan umur untuk bersara

Persaraan biasa adalah pada umur 55 tahun, tetapi anda boleh tetapkan umur lain, contohnya lebih lewat pada umur 60, atau lebih awal pada umur 50.

Kenapa perlu set ini dahulu? Sebab kita perlu tahu berapa tahun lagi untuk sediakan dana persaraan, dan berapa lama tempoh kita akan hidup selepas bersara. Dengan jangka hayat purata rakyat Malaysia sekitar 75 tahun, jika anda pilih bersara pada 55, maka 75 tolak 55 bersamaan 20 tahun. Bermakna anda perlu menyara hidup selama 20 tahun tanpa pendapatan tetap.

2. Tetapkan amaun perbelanjaan bulanan

Berapa yang cukup untuk menyara kos hidup anda selepas berhenti bekerja? Contohnya RM5,000 sebulan, bermakna RM60,000 setahun. Angka ini patut mengambil kira gaya hidup yang anda mahukan selepas bersara, bukan sekadar keperluan asas.

3. Kira jumlah keseluruhan dana persaraan

Ambil angka di langkah 2 (RM60,000 setahun) dan darab dengan tempoh persaraan (20 tahun). Jumlahnya RM1.2 juta.

Tetapi tunggu dahulu. Jumlah ini belum lengkap kerana belum mengambil kira kenaikan kos hidup (inflasi) dalam jangka masa panjang. Cara kira sebenar menggunakan formula Future Value of Annuity, yang akan memberi anda dua maklumat penting:

  • Berapa nilai sebenar RM5,000 hari ini pada tahun anda bersara
  • Berapa jumlah sebenar yang diperlukan selepas mengambil kira inflasi

Sebagai gambaran, dengan inflasi 3% setahun, RM1.2 juta hari ini mungkin memerlukan jumlah yang jauh lebih besar pada tahun anda bersara.

4. Kenal pasti sumber sedia ada

Sepanjang bekerja, sudah pasti ada sedikit sebanyak yang terkumpul untuk persaraan, seperti caruman KWSP dan PRS.

Contohnya, dengan caruman semasa bekerja ditambah dividen tahunan, anda mungkin ada RM200,000 dalam KWSP semasa bersara. Maka baki RM1 juta lagi menjadi nombor sasaran yang perlu dikumpul.

RM1 juta nampak banyak? Jangan risau. Itu kiraan untuk keseluruhan tempoh, dan anda boleh pilih instrumen pelaburan yang sesuai untuk kumpulkannya, mengikut toleransi risiko anda, sama ada secara pelaburan sekali gus, tahunan, bulanan, atau kombinasi.

Rancang persaraan anda dari sekarang

Lebih awal anda mula, lebih kecil jumlah yang perlu diasingkan setiap bulan kerana kuasa kompaun bekerja untuk anda. Sebelum memilih instrumen, pastikan anda baca juga 5 langkah memilih pelaburan yang sesuai.

Untuk kira nombor persaraan sebenar anda dan susun strategi, lihat servis Perancangan Persaraan kami atau tempah sesi perbincangan percuma.