Keperluan vs Kehendak: Cara Bijak Urus Kewangan Peribadi
Adakah anda tahu perbezaan antara keperluan dan kehendak? Sebelum membeli sesuatu, anda perlu tanya diri sama ada barang yang diinginkan itu satu keperluan, atau hanya untuk memenuhi kehendak nafsu sahaja. Kemahiran membezakan keduanya adalah asas kepada pengurusan kewangan yang sihat.
Apa itu keperluan?
Keperluan (needs) adalah sesuatu yang asas yang mesti dipenuhi untuk seseorang meneruskan kehidupan. Ia adalah tuntutan semula jadi yang mudah dipuaskan.
Sebagai contoh, kita perlu makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Contoh lain, membayar sewa rumah adalah keperluan mandatori; tanpanya, anda tidak mempunyai tempat tinggal.
Apa itu kehendak?
Kehendak (wants) pula ialah sesuatu yang kita inginkan tetapi bukan keperluan untuk meneruskan kehidupan. Selalunya ia timbul apabila kita melihat orang lain memiliki sesuatu dan kita turut mahu memilikinya.
Kadangkala kehendak juga mustahil dicapai sekiranya tidak diiringi dengan usaha, matlamat dan impian. Sebagai contoh, anda mungkin ingin membeli pakaian berjenama, sedangkan ada pilihan berkualiti dengan harga yang mampu milik.
Contoh senario
Senario 1: Pada masa kini, pembelajaran secara dalam talian adalah satu kewajiban. Oleh itu, Amin memerlukan sebuah komputer riba untuk belajar dan menyiapkan kerja. Ini adalah keperluan.
Senario 2: Naufal sudah memiliki sebuah komputer riba yang masih elok, tetapi kerana melihat kawannya memiliki Apple MacBook, dia turut ingin membelinya. Demi memenuhi kepuasan semata-mata, ini adalah kehendak.
Kesimpulan
Sebelum membeli sesuatu, ambil masa untuk berfikir sejenak sama ada ia benar-benar perlu, atau apa akan berlaku jika anda tidak memilikinya. Seseorang yang boleh membezakan antara kehendak dan keperluan adalah orang yang bijak dalam pengurusan kewangan.
Ingin tahu kedudukan sebenar kewangan anda? Mulakan dengan Pemeriksaan Kesihatan Kewangan, atau tempah sesi perbincangan percuma dengan perancang kewangan kami.